Pages

Thursday, June 28, 2012

Notis Pengusul Saya

long call speech aku ni malangnya di cut-shortkan oleh mover memandangkan hakim yang dengar petisyen aku prefer short speech. oh well... 

dan speech yang aku amik dan alter mengikut kesesuaian dari Aya Marzuki inilah motivasi aku sepanjang chambering. Well, speech ni tentulah tak segempak cam Aya, but... it means alot. to me. 


NOR AZWANI BINTI ABDUL RAHMAN           … PEMPETISYEN

NOTIS PENGUSUL


Dengan izin Yang Arif,

Saya Aniqah Zakaria hadir bagi pihak Pempetisyen.

Bersama-sama saya adalah rakan-rakan yang bijaksana yang mewakili pihak Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Majlis Peguam Kedah/Perlis telah diperkenalkan sebelum ini kepada Yang Arif.

Yang Arif,

Izinkan saya memperkenalkan Pempetisyen.

Dilahirkan pada 18 Februari 1985 di Kampung Baru, Naka, Pempetisyen merupakan anak kedua daripada empat orang adik beradik kepada Encik Abdul Rahman bin Abdul Hamid, seorang pesara KEDA dan Puan Hazirah bt Ayob, seorang suri rumah.

Pempetisyen telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar dan menamatkan pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Syed Omar, Alor Setar.

Sejak di sekolah menengah, impian Pempetisyen adalah menjejakkan kaki ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan undang-undang. Pempetisyen diterima masuk ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya pada 2003 dan seterusnya Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak pada 2005. Beliau telah menamatkan pengajiannya pada November 2009 dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian).

Sepanjang tempoh pengajiannya di Universiti, Pempetisyen menyertai pelbagai aktiviti dan program. Titik permulaan penyertaan Pempetisyen dalam program di universiti adalah di Sekretariat Moot dan Kemahiran Undang-Undang dan dari itu, Pempetisyen terus menglibatkan diri di peringkat kulliyyah termasuk pertandingan moot antara universiti, pameran buku, festival kuliyyah undang-undang dan program-program lain di bawah sekretariat Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.   

Setelah menamatkan pengajiannya, Pempetisyen yang berminat kepada kerja-kerja kemanusiaan telah menyertai sebuah badan bukan kerajaan di Petaling Jaya dan bekerja sebagai Eksekutif Perundangan di Meja Hak Asasi Manusia, ERA Consumer Malaysia selama dua tahun sebagai latihan mempersiapkan diri ke alam pekerjaan. Selain menyebarkan pengetahuan asas undang-undang kepada kumpulan terpinggir, Pempetisyen juga telah berpeluang berkenalan dengan pelbagai karakter insan, mengutip pengalaman menarik selain mengunjung ke banyak tempat serta mempelajari budaya lain.

Pempetisyen kemudian telah memulakan latihan dalam kamarnya di Tetuan Fahmi Mohd & Associates di bawah pengajaran Encik Mohd Pahmi bin Shaari dan di bawah bimbingan Encik Fahmi bin Osman. Sepanjang tempoh latihan dalam kamarnya, Pempetisyen telah mempelajari selok belok perundangan Malaysia dengan lebih mendalam lagi.

Pengajarnya banyak mencurahkan ilmu terutamanya di dalam kes-kes berkenaan milikan tanah, pampasan, tort, kontrak, dan pembahagian harta pesaka. Pempetisyen juga berpeluang mempelajari selok belok bidang shariah termasuklah tuntutan nafkah, hadhanah, cerai, fasakh dan harta sepencarian sehinggalah kepada penyediaan dokumen perjanjian.

Pempetisyen juga telah menjalani Program Bantuan Guaman yang mengajar beliau untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan lebih-lebih bagi mereka yang kurang berkemampuan. Sepanjang tempoh program di bawah kelolaan Jawatankuasa Majlis Peguam Kedah/Perlis tersebut, ia menguatkan semangat Pempetisyen dalam kepentingan untuk menyebarkan pengetahuan undang-undang kepada orang awam. 

Yang Arif,

Di kesempatan ini, Pempetisyen memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT dan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW untuk setiap anugerah kehidupan serta insan-insan yang telah ditakdirkan Allah kepadanya. Dan kedua-dua inilah yang telah membawa Pempetisyen berdiri, di sini, hari ini.

Di hari yang bersejarah ini, Pempetisyen mendedikasikan sepenuhnya penghargaan beliau kepada ibu bapanya untuk kasih sayang tanpa penghujung, bimbingan dan sokongan sepanjang Pempetisyen bernafas. Tiada apa lebih menggembirakan Pempetisyen di dunia untuk selain kesihatan dan lindungan Allah buat keduanya. Tidak dilupakan juga buat adik-beradik, keluarga, guru-guru, pensyarah-pensyarah dan teman-teman untuk jasa, doa dan dorongan mereka. 

Penghargaan khas Pempetisyen kepada pengajar beliau, Encik Mohd Pahmi bin Shaari  yang telah banyak membimbing, mengajar serta bersabar dengan karenah Pempetisyen. Penghargaan ini juga dipanjangkan untuk Encik Fahmi Osman dan keluarga Tetuan Fahmi Mohd di atas tunjuk ajar dan nasihat serta sokongan sepanjang tempoh latihan Pempetisyen di firma tersebut.

Sekali lagi Pempetisyen ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang telah hadir dalam hidup Pempetisyen. Sesungguhnya Pempetisyen amat bersyukur kepada Allah kerana dipertemukan dengan insan-insan yang terbaik dan pastinya segala panduan dan tunjuk ajar mereka tidak akan Pempetisyen sia-siakan.

Yang Arif,

Saya percaya bahawa semua suratcara Pempetisyen adalah sempurna dan teratur. Saya juga sesungguhnya percaya bahawa Pempetisyen adalah seorang yang berkelayakan menurut Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan bahawa rakan-rakan bijaksana saya yang mewakili semua badan-badan yang berkenaan tidak mempunyai sebarang bantahan.

Oleh yang demikian, saya dengan rendah diri memohon suatu perintah agar Pempetisyen dapat diterima masuk dan didaftaraikan sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

No comments:

Post a Comment